Travel

Exploring Mukah, Sarawak 2D,1N: Part 1

Tidak terfikir langsung ingin keluar dari “kotak keselesaan” pada tahun 2020 ini (Tahu-tahulah, kan dengan keadaan dunia sekarang). Paling tidak sangka, Mukah menjadi pilihan pertama dari senarai travel bucket list. Sebenarnya plan ke Mukah kind of short planning. Kawan sepejabat saya sudah lama mengajak ke Mukah sejak tahun 2019 lagi, tetapi saya bagitau tunggu dulu. Bila berlaku pandemik covid-19 melanda dunia tahun 2020, maka niat tersebut terus dilupakan. Hingga pada suatu hari, iaitu dua minggu sebelum kami memulakan eksplorasi, tiba-tiba niat tersebut muncul kembali. Ok. Kali ini saya bersetuju tanpa berfikir lama. Kami bercadang meneroka area Mukah selama 2 hari, 1 malam – iaitu bermula awal pagi Jumaat 4hb hingga lewat petang Sabtu 5hb Disember.2020.

Bermulalah perancangan demi perancangan kami atur. Dia sebagai pengurus event, mula mendapatkan maklumat terperinci dari seorang rakan sekolah lama dia, yang memperkenalkan kami kepada seorang lagi rakan, juga merupakan asal orang Mukah. Ini bermakna plan kami untuk ke Mukah akan menjadi lebih seronok pada kali ini sebab kami akan dibantu oleh orang Mukah sendiri yang arif tentang kawasan disana.

Maka saya dalam masa yang sama, memandangkan sudah lama tidak pergi ke mana-mana, saya pun mula membuat persiapan peribadi. Kali terakhir keluar dari daerah Sibu ialah pada tahun 2018. Itu pun menghantar anak masuk universiti di Kuching. Masa itu tidak ada masa meneroka tempat-tempat di Kuching yang belum pernah pergi lagi. Dalam persiapan ini, saya beli apa yang patut terutama kasut yang lebih selesa digunakan untuk berjalan.

Pejam celik tidak rasa, akhitnya tibalah hari untuk melaksanakan sebuah pengembaraan yang tidak seberapa jauh sangat pun haha. Packed by packed, entah berapa kali keluar masuk balik baju dari dalam beg, kemudian pilih-pilih lagi. Cerewet sikit kan perempuan ini bila nak adventure (sayalah tu, kih kih). Macamlah gaya nak pergi ke Eropah, amboi haha.

Ops, ada meow. Kucing saya ini namanya Gracie. Memandai sahaja bila kita nak pergi travel, action pula jadi begini sedih. Kalau hari biasa, tak adanya dia begini pun. Dalam masa yang sama juga, saya baru kehilangan seekor kucing kesayangan. Lebih separuh rasa jiwa menangis kehilangan dia. Setiap hari mengharapkan dia kembali pulang ke rumah. Asalnya dia kucing sesat, tapi sangat rapat dengan saya. Pecinta kucing sahaja yang memahami kesedihan begini. Maka pengembaraan kali ini diharapkan saya akan menjumpai kesembuhan hati dan akan berlaku sesuatu yang lebih ajaib.

Okay..selesai packing. Tidur awal dan kena bangun awal jam 2.50 pagi. Awalnya haha. Teksi akan jemput ke terminal bas lebih kurang 4.00 pagi. Yalah, kami backpack kali ini menggunakan bas Asia dari Sibu ke Mukah jam 5.00 pagi. Kami memilih bas first trip bertolak ke Mukah. Lebih awal sampai, maka lagi banyaklah masa untuk meneroka.

DAY 1: 04.December.2020 (Friday)

Dipendekkan perjalanan dari rumah ke terminal bas. Pak cik teksi awal pagi lagi sudah sampai depan pintu pagar rumah, 10 minit sebelum 4.00 pagi. Hmm.. macam pak cik teksi pulak yang lebih excited (haha gurau je). Biasa memang begitu,kan. Teksi selalunya sampai lebih awal dari masa yang diminta. Keadaan traffic lengang awal pagi, jadi tak sampai 10 minit sudah sampai dekat terminal bas. Kena tunggu lama sikitlah, tapi tidak rasa sangat sebab cuaca dingin awal pagi.

Kompom dekat kaunter lagi sekali, Sibu-Mukah jam 5.00 pagi. Harga tiket dibeli dari kaunter ialah RM22.00 seorang. Kalau beli melalui Bus Online Ticket, harga RM20.00 dalam skrin, haha. Tapi ada caj tambahan lepas campur-campur semua mungkin harga lebih kurang sama. Cubalah kalau rasa ingin mencipta memori menaiki bas ke Mukah. Tidak salah untuk mencuba.

Inilah rupa bas Asia yang kami naik pada hari itu. Dua tingkat, hehe, tetapi dekat bawah itu untuk menyimpan barang-barang. Kami duduk di tingkat atas, nombor dua dari depan. Nama lama bas ini dahulu ialah Biaramas. Bas ini dari Kuching sebenarnya, jadi kami kena tunggu lewat sikit, iaitu 10 minit dekat 5.00 pagi baru sampai Sibu. Bertolak pun setengah jam kemudian. Ini perkara biasa berlaku. Kadang-kadang perjalanan dari Kuching agak mengambil masa dan jadualnya sedikit lari disebabkan faktor jalan raya yang kurang baik. Ada sesetengah tempat itu masih dalam pembinaan (projek Pan Borneo). Tidak boleh laju sangat. Kalau jalan yang ada lopak akibat hujan, memang bahaya. Harus timbang rasa terhadap kenderaan lain. Samalah juga perjalanan dari Sibu ke Mukah, terutama di bahagian Selangau. Tetapi jalan masuk ke Mukah semuanya lancar dan rata. Jalan rayanya cantik. Syukurlah pemandu Bus Asia berhemat dan kami semua mempercayainya pada hari tersebut.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah. Biasanya bas akan singgah sebentar di Selangau tetapi hari tersebut bas lalu sahaja, mungkin sebab sudah lewat bertolak dari Sibu. Sepanjang perjalanan kita hanya akan melihat kiri kanan kehijauan tropika, terutama pohon-pohon kelapa sawit dan pokok-pokok rumbia. Bila sudah dekat sampai Mukah, sebelah kanan pula akan nampak pemandangan tepi laut dengan suasana pokok-pokok ru yang melambai-lambai menyapa kedatangan kita (hehee.. bermadah pujangga sedikit). Pencinta alam pasti memahami semuanya.

Kami tiba di terminal bas Mukah hampir jam 8 pagi. Cuaca sangat indah dan ceria, hati kami pun turut berbunga-bunga. Turun dari bas terus cari tourist guide, Ms Mary Ting yang sudah bersedia menunggu kami dengan keretanya. Semua orang lapar, apa lagi kami pun pergi breakfast dulu dekat non-halal shop, Botak Cafe. Location tak jauh dari terminal. Sedap mee dia, kampua, wantan, dan sebagainya. Patutlah penuh tempat duduk makan. Jadi, kiranya anda jalan-jalan ke Mukah, jangan lupa singgah sini (khas untuk yang non-halal sahaja).

Selesai sarapan, kami pergi ke Tapak Pesta Kaul, Pantai Kala Dana. Sebelum ini ianya ditutup kepada orang awam atas sebab projek melukis mural tengah berlangsung. Kami sangat bernasib baik, saya ingat tidak mempunyai kesempatan melihatnya. Cantik sungguh. Semuanya tentang seni dan ada makna disebaliknya. Inilah antara photo yang boleh saya kongsikan:

Mula-mula sampai dekat sini, barisan kerusi ini yang akan anda nampak terlebih dahulu. Setiap kerusi ada mural tersendiri.

Maksudnya, “Duduk elok-elok. Jangan terlalu leka/seronok. Nanti terjatuh, orang lain akan sibuk mengangkat kita” hahaa. Lebih kurang begitulah ayat dia.

Pencinta kucing seperti saya mesti suka ambil gambar mural yang begini.

Mural telur mata.

Pemandangan dari atas. Kereta putih tu ialah kami punya tourist guide.

Nampak tak traffic light tu? Percaya atau tidak, Mukah hanya mempunyai satu sahaja traffic light. Roundabout dia barulah banyak. Ini menunjukkan traffic di Mukah adalah dalam keadaan terkawal. Pemandu dia kebanyakan sabar cara memandu, suka bagi laluan walaupun itu adalah laluan mereka. Mungkin disebabkan budaya mereka sejak dari dahulu suka pada keharmonian, orang kata santai-santai.

Dan apa pula cerita sebenar di sebalik Tapak Pesta Kaul? Kalau saya mahu cerita disini, segan rasanya sebab seumur hidup, saya tidak pernah lagi pergi ke pesta kaul di Mukah, haha. Pernah ada kawan mengajak ke sini pada tahun-tahun sebelum ini, tetapi belum rasa mahu pergi. Apa-apa pun, anda boleh membaca sedikit info di sini.

Sambil bercerita memperolehi maklumat, sambil itu mengelilingi bandar Mukah. Banyak sudah pembangunan dia berbanding dengan tahun 2006, iaitu kali terakhir saya datang ke sini. Lamanya tidak jalan-jalan ke Mukah. Bukan apa, dulu saya duduk di Kuala Lumpur untuk bekerja. Jadi macam sakai sikit bunyi dia.

Salah satu projek keropok ikan di Mukah. Yang ini sangat laku dan tidak menerima pelanggan yang mahu membeli dalam masa yang sama. Terlalu ramai orang membuat tempahan, sedap ini.

Seterusnya kami pergi ke Lamin Dana.

Inilah laluan menuju ke Lamin Dana. Sungai itu namanya Sungai Telian, selalunya laluan pembekal mengangkut kayu-kayu bakau yang telah dipotong.

Harga sebatang yang sudah dipotong pendek sekitar RM10.00. Mereka mengangkut menggunakan perahu panjang ke tempat memproses sago.

Sebelum ke Lodge Lamin Dana, kami diberi informasi tentang adat resam dan budaya orang Melanau zaman dahulu kala. Kiranya kami ini didedahkan dengan sejarah mereka. Seronok dapat info lisan begini. Baru hari ini saya mengetahui rupa-rupanya orang Melanau ini ada sistem kasta mereka tersendiri suatu ketika dahulu. Sistem kasta mereka yang tertinggi ialah bermula dengan nombor 9, diikuti 7, 5 dan paling rendah ialah nombor 1, iaitu hamba. Mereka menggunakan urutan nombor ganjil sahaja. Yang ada sistem kasta ini kiranya kategori royal.

Ini merupakan tempat tulang-tulang si mati (dari kalangan royal) disemadikan. Menurut sejarah, si mati akan diletakkan dalam keranda gantung untuk beberapa waktu sehingga tulang-tulang reput. Kemudian barulah proses meletakkan tulang-tulang yang telah reput itu disemadikan di sini.

Seterusnya kami di bawa ke tempat memproses sago secara tradisional. Itu pondok dia, comelkan haha. Betul-betul old school. Ini merupakan salah satu cara mereka mahu mengekalkan tradisi asal memproses sago. Bukan mereka tidak mahu membina satu kilang lebih besar dan mempercepatkan lagi proses tersebut, tetapi mereka memikirkan kos pengeluaran yang lebih tinggi. Lebih tinggi kos pengeluaran, maka harga sago yang selalu kita lihat di pasaran akan menjadi lebih mahal. Tambahan pula proses membakar sago adalah proses yang agak lama. Demikianlah antara maklumat yang kami perolehi.

Cara-cara memproses sago sedang dijalankan. Sago ini sungguh ajaib, dia terbentuk kecil-kecil bulat dengan sendirinya. So natural. Memang mengikut bentuk bumi, membulat dan comel.

Lepas terbentuk menjadi “mini planet”, akhirnya tiba ke proses pembakaran yang menggunakan kayu bakau selama sejam.

Selesai sesi pembelajaran tentang sago, kami pun terus dibawa ke tempat membuat batik linut. Pernah dengar? Saya ada rasa sakai sedikit ini, mungkin sebab tidak membaca info sangat, haha.

Proses membuat baju batik linut. Yang dalam besen itu ialah linut yang diperbuat daripada sago. Linut asalnya makanan asli orang Melanau. Sedap. Tapi janganlah anda cuba untuk makan yang mereka guna untuk membuat batik ini, haha. Yang ini sudah dicampur dengan bahan tertentu dan tidak boleh dimakan.

Antara corak batik yang digunakan.

Contoh baju dan kain batik yang telah siap dan sedia untuk dibeli. Kalau ada bajet lebih, silalah beli untuk menghargai dan menyokong industri tempatan Sarawak. Harga dari RM65, RM80 dan ke atas, ikut design dan lebar kain. Baju pula harganya dalam RM35.00 sehelai, berbagai jenis saiz. Selain baju dan kain, mereka juga ada membuat shawl, scarf, mini bag dan purse. Jika anda berminat, boleh membuat tempahan secara online melalui halaman facebook Lamin Dana Cultural Lodge.

Keluar dari pusat memproses batik linut, kami dibawa ke Lamin Dana Lodge untuk menambah pengetahuan kami dalam ilmu sejarah dan budaya, haha.

Pemilik-pemilik Lamin Dana. Mereka ini sebuah keluarga yang mempunyai sejarah dalam sistem kasta orang Melanau.

Untuk pengetahuan, kiranya anda ingin merasai suasana kampung dengan bunyi-bunyi alam di sekeliling, cubalah bermalam di sini. Tidak salah mencuba. Pada sebelah malam anda boleh melihat kelip-kelip dekat pokok ini. Harga bilik semalam ialah RM80 tidak termasuk pakej. Kalau anda berminat pakej seperti yang kami beli, harga dia untuk seorang dewasa RM30 termasuk refreshment di cafe (tidak termasuk extra drinks). Bagi kanak-kanak lebih murah atau percuma kalau tidak silap. Boleh hubungi pengurus Lamin Dana, Puan Andrea James di talian +601116107025.

Dahaga dan lapar mula terasa. Nasib baik kami membeli full pakej. Jadi, apa lagi marilah rehat dan refreshment dekat sini. Selesai di sini nanti, kami bercadang untuk makan tengahari di tebing sungai Batang Mukah.

Inilah rupa cafe Lamin Dana. Banyak kreativiti dan seni yang menarik di sini.

Waktu tengahari kami berada di tebing Batang Mukah, menikmati ayam dan udang goreng penyet yang famous di Mukah. Pada mulanya ingin makan ikan goreng penyet, tetapi sudah habis, laku sangat. Ramai juga orang makan dekat sini.

Inilah rupa nasi penyet dia. Big portion, tidak larat untuk dihabiskan. Macam saya memang terlebih muat portion begini, haha. Harga nasi ayam penyet dia RM10.00 sepinggan. Udang penyet RM15.00. Ikan penyet kami tidak tahu harga haha, sebab tidak order, habis stok.

Selesai makan, kami sambung lagi tangkap view sini sana tanpa menghiraukan orang di sekeliling pandang-pandang. Biasalah, kalau kita datang ke tempat orang, kita mahu menghargai kesemuanya. Mukah banyak mural art. Kebanyakan semua tentang makanan dan budaya tempatan.

Okay, time untuk kami check-in ke hotel Kingwood sudah pun tiba. Dalam perjalanan menuju hotel, sempat lagi kami singgah di sebuah homestay terbaru di Mukah. Tempat dia bersebelahan pintu gerbang Chinese Community Mukah, yang juga tidak jauh dari kuarters polis.

Jika ada yang berminat bermalam di sini, harga semalam minimum RM50.00 (ikut besar bilik). Boleh hubungi nombor telefon tertera. Bila ditanya owner apa nama homestay ini, tidak ada nama katanya, pulak dah haha. Tidak mengapa, yang penting cantik dan dapat tidur dengan selesa disini. Design luar nampak cantik.

Akhirnya masa untuk check-in di Kingwood Hotel. Harga semalam deluxe dekat sini RM100.00 (mahal, haha). Tidak mengapa, penat meneroka, sekali-sekala berpeluang untuk tidur di hotel begini. Sebelah malam sunyi sepi walaupun window room kami menghadap sebelah jalan raya. Manakala berhadapan pintu masuk ke Kingwood Hotel ialah Masjid Setia Raja, Mukah.

Cukup sampai disini dahulu entry exploring Mukah Part 1. Selamat membaca semua.

Please follow and like us:
Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)