Travel

Exploring Mukah, Sarawak 2D,1N: Part 3

DAY 2: 5th.December.2020 (Saturday).

Hai semua. Tengok tajuk blog ini sudah pastinya faham bahawa ini merupakan entry bahagian akhir cerita tentang eksplorasi kami ke Mukah tempohari. Kepada yang belum membaca lagi cerita ekplorasi kami dari mula, sila rujuk Part 1 dan Part 2. Terima kasih ya.

Pagi Sabtu 05.Disember.2020, jam 8.00 pagi, kami check-out dari Kingwood Hotel. Kalau ikut secara logiknya, sayang sangat check-out awal-awal pagi begini,kan haha. Nak buat macam mana. Sudah namanya kita ala-ala mengembara, bukannya honeymoon hendak santai lama-lama dalam room, betul tak hihi. Sebenarnya otot-otot dibadan masih terasa sakit sini-sana (kesan-kesan non-stop travellah tu, kononnya), tetapi itulah hakikatnya. Ketara sangat menunjukkan kurang membuat senaman, kah kah. Sebab itu orang cakap, jika ingin travel kena kuat stamina baru ada umphh. Selesai urusan check-out, kami berjalan kaki sedikit menuju ke sebuah kedai makan terletak seberang jalan raya bahagian tepi Kingwood Hotel. Kami berjalan meredah padang rumput untuk ke sana. Kalau melancong di sesetengah negara, tidak boleh sesuka hati pijak padang rumput ni, hehe.

Kedai tempat kami breakfast.

Kami breakfast di kedai ini sementara menunggu Ms Mary Ting datang menjemput kami. Selepas breakfast, kami terus ke terminal bas untuk membeli tiket balik ke Sibu jam 6.00 petang dengan menaiki Bas Asia.

Hari kedua ini kami akan ke pekan Oya, terutama ke Pasar Sabtu Oya. Pekan ini terletak kira-kira 20 minit driving dari bandar Mukah. Tetapi sebelum itu, kami mahu singgah ke kilang memproses tebaloi secara tradisional terlebih dahulu. Dalam perjalanan ke sana, kami sempat singgah bergambar di hadapan Menara Pehin Setia Raja Mukah. Tidak boleh masuk ke dalam, jadi kami bergambar dekat luar sahaja. Sedikit info mengenai menara ini disini.

Selesai sesi photo shoot haha, kami terus ke kilang memproses kuih tebaloi yang terletak di Kampung Tutus Hilir, Mukah. Cara pemprosesan tebaloi disini menggunakan kayu bakau yang dibakar. Semalam kami tidak sempat ke sini disebabkan tutup awal pada hari Jumaat.

Ok, semua orang faham bagaimana rasanya makanan yang dimasak menggunakan kayu api, terutama mereka yang mempunyai pengalaman hidup di kampung. Setiap makanan yang dimasak menggunakan kayu api sememangnya sedap dan lebih harum. Lain-lain makanan yang biasa dimasak menggunakan kayu api ialah nasi, pulut lemang, ayam panso, ikan panso dan ubi kayu.

Inilah dia tempat memproses tebaloi secara tradisional.

Masuk sahaja dalam sini, mereka semua tengah sibuk membuat kuih tebaloi. Asap kayu bakau pun berkepol-kepol. Baju pun dapat wangi asap dah hehe. Tetapi memang seronok dapat peluang melihat mereka memproses kuih ini dengan mata sendiri. Seperti biasa (seperti hari semalam haha), kami tetap diberi peluang merasa kuih yang baru masak. Selepas ini mana ada selalu dapat peluang begini, nak makan pun yang sudah siap dipacked atau sudah dipasarkan. Kami turut membeli beberapa bungkus kecil tebaloi dengan harga RM1.50 sebungkus.

Seperti yang diketahui, tebaloi merupakan salah satu makanan tradisional kaum Melanau di Mukah, Sarawak yang diperbuat daripada empat bahan utama iaitu tepung sagu, kelapa parut, telur dan gula. Pada masa sekarang ia telah menggunakan lima jenis perisa iaitu asli, kunyit, strawberi, pandan dan coklat. Sesuai dijadikan snack, buah tangan, doorgift majlis-majlis dan sebagainya.

Sekiranya anda berpeluang melawat Mukah, jangan lupa singgah ke sini. Ada juga peniaga dari Mukah menjual kuih ini melalui Shopee. Sekiranya anda belum berkesempatan untuk datang ke Mukah tetapi teringin merasa kuih tersebut, saya cadangkan anda melawat platform Shopee peniaga ini memandangkan review mengenainya agak menarik. Cari Kuih Tebaloi / Mukah di bawah nama forever_ young.

Okay, tiba masanya ke pekan Oya. Apa yang ada disini?

Jarak Oya dari Mukah mengambil masa lebih kurang 20 minit memandu.

Di Oya terdapatnya Pekan Sabtu Oya yang dibuka untuk orang ramai setiap hari Sabtu. Pekan ini telah wujud selama 14 tahun dan ini pula merupakan kali pertama kami datang ke sini. Terharunya bunyi haha. Pekan ini tujuan dia membantu mempertingkatkan ekonomi para golongan nelayan tanpa melibatkan orang tengah. Harga barang-barang di sini lebih murah. Para nelayan pula dapat menjual ikan dengan harga berpatutan. Antara barang-barang yang dijual ialah ikan segar, sago, keropok ikan, udang, sotong, sayur-sayuran, berbagai jenis bunga, kuih-muih, buah-buahan, pakaian, tudung dan sebagainya.

Entrance ke Pasar Sabtu Oya

Kami tiba di Pekan Sabtu Oya dekat jam 10 pagi. Walaupun ramai orang tetapi masing-masing mengamalkan SOP. Tempat parking sampai ke laluan roundabout Oya. Nasib baik kami dapat parking yang lebih dekat.

Inilah gerbang Pasar Sabtu Oya. Saya jadi model tu haha.

Saya sempat membeli keropok ikan, sago dari Dalat dan sejenis bunga purple (tak tau nama bunga, hehe). Ni nak cerita sedikit tentang sago Dalat. Sago Dalat berbeza sedikit berbanding Mukah. Bebijinya lebih kecil dan rasanya sedikit masin berbanding Mukah. Walau bagaimanapun, kedua-duanya tetap mempunyai khasiat dan citarasa tersendiri. Dan tahukah anda, sago ini banyak khasiatnya terutama membantu dalam proses awet muda. Lihat info sini.

Inilah sago dari Dalat yang saya beli di Pekan Oya. Gambar ini saya ambil dari Facebook. So bagi kredit kepada Facebook.

Jalan keluar dari bangunan pasar, kami bergambar dengan mercu tanda ikan yu Oya.

Ikan yu sebagai mercu tanda Pekan Sabtu Oya

Apa kaitan ikan yu dengan pasar Oya? Ikan yu antara salah satu spesies ikan yang sering diperoleh oleh nelayan pada setiap hari.

Selepas bergambar dengan ‘si ikan yu’, kami terus ke pekan Oya untuk menikmati mee sup udang dan mee goreng udang segar dari pasar tani. Dalam perjalanan menuju kedai mee udang, kami sempat lagi singgah dan bergambar di hadapan Galeri Warisan Melanau yang masih dalam pembinaan.

Pembinaan bangunan Galeri Warisan Melanau bertujuan untuk meningkatkan lagi aktiviti pelancongan dan ekonomi di bahagian Mukah. Lokasinya terletak di antara Pejabat Daerah Oya dan kuarters lama di Dalat. Bila sudah siap nanti, jangan lupa singgah disini untuk menambahkan lagi pengetahuan pengembaraan anda. Baca info lanjut disini.

Akhirnya kami tiba di Pekan Oya. Mee udang, kami datang haha..

Sebelum itu, sempat ambil beberapa view pekan Oya. Pekan Oya adalah sederet bangunan kedai yang lama tetapi masih tahan dan sangat antik.

Kedai Mee Sup Dan Goreng Udang Oya

Di kedai inilah kami makan mee sup dan goreng udang. Dia sebenarnya sederet stall makan yang berhadapan dengan bangunan kedai pasar Oya yang berwarna oren. Sekiranya anda jalan-jalan cari makan di bahagian Mukah, jangan lupa singgah di pekan Oya untuk menikmati mee udang dia yang terkenal itu.

Selain mee udang, kami juga sempat menikmati kuih-muih di sini.

Rancak berbual-bual sambil menikmati hidangan, tidak terasa masa pantas berlalu hingga hampir tengahari. Cuaca semakin panas terik. Kami meneruskan lagi sesi penerokaan. Dalam perjalanan balik ke bandar Mukah, kami singgah di beberapa tempat. Saya juga sempat mengambil beberapa gambar dari dalam kereta haha.

Bergambar di replika ketam haha.
Antara rumah yang menarik perhatian saya dan nampak unik.
Kedai gunting

Kami tiba di pusat ATV Oya yang terletak di tepi pantai Oya dekat jam 12 tengahari. Patutlah matahari terasa sangat terik, tetapi keseronokan yang dilalui kami membuatkan kami melupakan cuaca kepanasan itu haha.

Jika berminat, ini info tentang harga dia.

Kami tidak bermain sebab operasi ATV hanya dibuka jam 1.00 petang. Tambahan pula cuaca panas terik. Waktu kami tiba pun baru 12 tengahari, tak larat mahu tunggu sampai dibuka. Sempat tengok ATV moto dia, tetapi sayangnya tidak ambil gambar ala-ala memandu. Terlupa haha.

Balik dari Oya Beach, kami meneruskan perjalanan dan singgah disebuah rumah sepasang suami isteri yang menjalankan tanaman sayur-sayuran secara hidroponik. Hidroponik bermaksud menanam sayur-sayuran tanpa menggunakan tanah. Info lanjut disini.

Sayur pahit
Salad tempatan

Inilah rupa benih sayur-sayuran yang diternak terlebih dahulu. Macam anting-anting,kan haha. Saya mohon maaf sebab photo terlalu kecil, yang ini saya snap dari video sahaja.

Selain menanam sayur hidroponik, tuan rumah juga turut menternak lebah kelulut.

Halaman rumah mereka yang dipenuhi bunga-bunga. Rajin sangat,kan.

Seterusnya kami singgah pula ke D’Sanglau Cafe dibawah pengurusan The Beach Cafe. Mulanya ingat mahu beli minuman dari sini tetapi belum buka lagi. Sempat saya ambil photo dan juga video sebagai kenangan bahawa kami sudah sampai disini. Kawasan dia sangat luas, terletak di tepi pantai Oya. Ada dewan untuk majlis perkahwinan dan sebagainya. Ada grandstand juga. Sekiranya anda berminat untuk datang ke sini, boleh melawat ke Halaman FB The Beach Cafe.

Aktiviti kami seterusnya ialah ke salah satu pusat memproses kuih sepit yang terkenal di sekitar Mukah. Dalam perjalanan ke sana, saya sempat mengambil gambar satu lagi tempat makan yang agak famous.

Seleran Hujung Kampung Pantai Oya

Sekiranya anda berminat dan jalan-jalan cari makan ke Oya, boleh pergi ke halaman FB mereka Selera Hujung Kampung Pantai Oya untuk mencari lokasinya. Jarak dari D’Sanglau Cafe tadi lebih kurang seminit memandu. Ia juga bersebelahan dengan Beach Restaurant Oya.

Kilang Kuih Sepit Judan

Akhirnya, tiba di kilang kuih sepit. Ini ialah sedikit view yang sempat saya ambil semasa ke sana. Kilang kuih sepit ini namanya Kilang Kuih Sepit Judan, lokasi bersebelahan dengan kubur orang dulu-dulu, iaitu Tanah Perkuburan Likou Kampung Judan.

Khabarnya, tempahan kuih sepit disini sangat tinggi permintaannya sehingga ada yang menempah berbulan-bulan lamanya, malah ada juga yang hampir setahun. Bayangkan nilai citarasa dia! Jikalau anda ingin membuat tempahan, kena bagitau owner dia seawalnya. Kami yang tiba secara mendadak ini memang kompom seratus peratus tidak dapat peluanglah, haha. Cukup untuk kami merasa keenakan kuih sepit, terutama yang baru siap dimasak dan digolong-golong.

Inilah rupa kuih sepit yang baru masak. Mak cik yang buat itu letak kat sana suruh kami ambil sendiri dan rasa haha. Baik sungguh mereka ini. Ranggup dan sangat sedap. Tin ini merupakan contoh tempahan dari pihak customer. Kalau anda tidak berkesempatan untuk datang ke Mukah, saya nampak ada juga yang menjualnya di Shopee. Pergi ke laman web Shopee, taip Kuih Sepit Judan Mukah. Harganya diantara RM10.00 – RM30.00, ikut saiz tin.

Cuaca mula mendung. Jalan masuk ke simpang UiTM

Balik dari kilang kuih sepit, kami meneruskan perjalanan kembali semula ke bandar Mukah sekitar jam 1.00 tengahari. Cuaca yang panas terik tiba-tiba bertukar mendung pula. Cuaca begini memang normal di tempat kita. Orang-orang dari negara barat yang datang ke negara kita selalu berkata, “the place with unpredictable weather”. Siang hari nampak okay, cuaca panas tetapi kadang-kadang boleh hujan secara tiba-tiba. Atau kadang-kadang, nampak awan hitam gelap dengan angin sekali, tetapi tiba-tiba cerah beberapa minit kemudian. Contoh cerita mengenai cuaca negara kita, ada disini.

Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak, Mukah

Kami tiba ke kawasan pembinaan institut pengajian tinggi yang sedang dibina di Mukah. Gambar menunjukkan antara bangunan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), Mukah.

Selain itu, banyak institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan disini seperti Politeknik Mukah, UiTM dan yang akan diwujudkan seperti Kolej Laila Taib, UNIMAS dan lain-lain.

Tapak Kolej Laila Taib yang sempat saya snap dari dalam kereta

Jauh kelihatan merupakan tapak pembinaan Kolej Laila Taib yang sedang dalam proses. Saya tidak keluar mengambil gambar view-view disini sebab hari sudah hujan haha. Kalau tidak, memang kami akan berposing biar pun panas terik.

Hendak pergi ke mana lagi hujan-hujan begini? Okay, tempat seterusnya ialah airport baru Mukah yang sedang dalam pembinaan. Kami drive pusing-pusing dari jauh sahaja dan ambil gambar dari dalam kereta.

Airport baru Mukah sedang dalam pembinaan

Lapangan Terbang Mukah ini dijangka akan siap dibina pada tahun 2021. Ia akan dapat mendaratkan berbagai jenis pesawat jenis ATR berbanding hanya Twin Otter pada ketika ini (sebutan dalam Bahasa Peranchis ATR berbunyi Aerei da Trasporto Regionale, pandai sebut tak haha). Memang betullah, pembangunan besar-besaran sedang berlaku di Bahagian Mukah dan ini secara tidak langsung akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi serta pelancongan. Selain itu, ia juga turut membuka peluang pekerjaan. Baca info lanjut mengenainya disini.

Kalau sudah melihat yang ‘baru’, jangan lupa juga menjenguk yang ‘lama’. Maknanya kami juga berpeluang menjenguk airport lama Mukah. Ini juga merupakan kali pertama saya ke sini, alahai lucu dan sungguh kasihannya haha.

Entrance Airport Mukah

Perjalanan kami diteruskan dalam hujan gerimis yang mengundang ditengahari haha. Bermadah sedikit supaya ada feel.

Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Mukah
Balai Bomba Mukah
Sempat lalu pintu masuk ke SMK Three Rivers

Ini merupakan view yang sempat saya ambil dalam perjalanan ke destinasi seterusnya. Antara yang menarik bagi saya disini ialah kami sempat lalu SMK Three Rivers. Kawan-kawan sekelas saya semasa tingkatan enam SMK Rosli Dhoby dulu ramai yang dari sekolah ini. Tengok tak bintik-bintik hujan yang muncul dicermin kereta? Itu menunjukkan hujan semakin lebat membasahi bumi Mukah haha.

Perut pun sudah mula lapar. Kami mengambil keputusan menikmati makanan di sebuah kedai makan bersebelahan dengan market basah Mukah.

Selera R.S Mukah

Kami memilih untuk merasa nasi goreng dabai, nasi goreng ikan masin dan nasi goreng kampung di stall ini, tetapi masih tetap order makanan dari stall lain-lain.

Macam makan besar sahaja rupanya kami haha. Mentang-mentang sudah hendak balik ke Sibu petang itu. Sambil makan-makan, kami santai-santai bercerita sementara menunggu hujan reda sedikit. Jam pun baru menunjukkan pukul 2.00 petang. Bila mendongak ke langit, hhmm.. kompom hujan tidak akan berhenti sampai ke malam.

Selesai menjamu selera, kami mula berjalan-jalan disekitar market basah Mukah pula. Semalam tidak pergi sebab masih menyibuk ke hulu-hilir dan ke tempat-tempat lain, hihi. Saya sempat membeli ikan duai tiga tompok dengan harga RM45.00. Mereka siap packed elok-elok dalam kotak, sampai KL sekalipun masih beku dan fresh lagi ni, haha.

Dekat market saya tidak mengambil gambar pula, entah bagaimana boleh terlupa. Lupa disebabkan kekenyangan makan besar tadi agaknya, kah kah.

Memandangkan masa masih tinggal beberapa jam, kami terus dibawa ke satu lagi resort Mukah. Perkenalkan Anggun Resort. Jika anda berminat, sila klik like Facebook mereka Anggun BEACH Villa Cafe & Guest House. Comel tak?

Sebenarnya jika cuaca tidak hujan, memang rasa ingin bergambar lebih banyak dekat sini. Kalau hujan-hujan begini, memang rasa kurang sikit perhatian sebab banyak perkara kena elak. Antaranya ialah handphone basah, malah feshen rambut pun boleh terjatuh sebab basah bila bergambar nanti, haha.

Okay, tengok jam. Masih ada masa lagi. Kami meneruskan satu lagi destinasi. Kali ini menerjah kampung-kampung dan pusing-pusing untuk berada di seberang bandar Mukah pula. Perjalanan ke sini sangat seronok, berpeluang melihat sendiri pemandangan kampung dan rumah-rumah penduduknya dengan reka bentuk yang berbagai rupa.

Ini merupakan jeti dan terletak berhadapan dengan bandar Mukah

Sudah sampai diseberang haha. Semalam kami makan tengahari bertentangan dengan ayat Mukah ini. Ia dipisahkan oleh Sungai Batang Mukah. Untuk ke sini, kita boleh menggunakan dua cara pengangkutan. Kalau ingin menjimatkan masa atau short trip, guna sampan dari seberang jeti kampung ini. Harga ulang-alik ialah RM1.00. Kalau rasa ingin lebih adventure (seperti kamilah hehe), driving melalui jalan darat sambil pusing kampung. Kemudian cuba naik sampan ulang-alik sekali trip pula, hehe. Kami hari itu tidak sempat naik sebab kami memilih untuk posing-posing ambik view meskipun dalam keadaan hujan renyai-renyai.

Nampak tidak yang seberang itu? Yang itulah bandar Mukah. Kalau hendak naik sampan ke seberang, turun bawah ikut jeti itu.

Jika anda nature lover, disini juga berpeluang untuk melihat sendiri berbagai jenis tumbuhan dan haiwan. Untuk ke sana, ada laluan khas disediakan untuk berjalan kaki, bersebelahan kiri dan kanan.

Kami kembali semula ke bandar Mukah. Destinasi penghujung kami sebelum balik ialah mengunjungi timbunan arang batu di Mukah pula haha. Saya rasa kami ini betul-betul meneroka Mukah, hinggakan longgokan arang batu juga sempat dilawat.

Nampak tidak longgokan arang batu yang saya snap dari dalam kereta? Adakalanya longgokan ini akan terbakar dengan sendiri jika matahari terlalu panas terik. Tetapi bukanlah terbakar besar, cuma api yang masih boleh dikawal.

Sedikit info mengenai arang batu. Mukah Balingian merupakan salah satu pengeluar arang batu yang utama di Sarawak selain Sri Aman dan Kapit. Arang batu ini sebenarnya dibentuk secara semula jadi dari pelbagai jenis tumbuhan yang mereput dan terkumpul selama lebih ratusan juta tahun. Sektor penjanaan tenaga seperti Sarawak Energy banyak menggunakan bahan api daripada arang batu.

Alright. Selesai sudah pengembaraan kami meneroka Mukah. Masa untuk pulang semula ke Sibu telah pun tiba. Walaupun masih awal lagi, kami memilih untuk menunggu di terminal bas sahaja sementara waktu bas bertolak pukul 6.00 petang. Kami tidak mahu menyusahkan dan memenatkan Ms Mary Ting. Tambahan hujan pun masih belum reda lagi, jadi tidak tahu hendak ke mana lagi. Bas pula memang sudah siap sedia dekat sana, jadi senanglah untuk kami rehat dalam bas sementara menunggu masa cukup untuk bertolak.

Trip kami pada kali ini memang suatu perjalanan yang bernilai meskipun sangat memenatkan. Haha. Diharapkan segala informasi yang saya kongsikan disini dapat memberi maklumat dan rujukan terutama kepada mereka yang berminat untuk melancong atau mengembara.

Maklumat Tambahan:

Sekian sahaja cerita misi pengembaraan yang tidak seberapanya ini. Terima kasih banyak-banyak diatas kesudian anda meluangkan masa untuk membaca. Sekiranya berpeluang meneroka lain-lain tempat di masa akan datang, saya akan cuba mengongsikannya dengan anda semua.

Please follow and like us:
Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)