Crochet Cardigan

Sunset Flower Crochet Cardigan

Projek saya pada kali ini ialah membuat baju ‘cardigan’ atau baju ala-ala jaket menggunakan benang kapas susu (milk cotton yarn). Boleh cuba cari informasi tentang harga benang ini dalam Shopee. Baju cardigan ini saya namakan Sunset Flower Cardigan memandangkan pilihan warna benang ialah kelabu cerah dan kelabu kehitaman. Kalau dirujuk dalam Shopee, perbezaan warna benang menggunakan nombor sahaja. Jadi saya menamakan benang yang saya pilih ini sebagai Shadow Gray (yang lebih gelap) dan Pewter (yang lebih cerah).

INSPIRASI REKAAN

Kenapa saya memilih nama sunset dan flower? Sudah semestinya sesuatu yang kita reka mesti ada maksud tersendiri. Ramai orang sukakan pemandangan waktu senja, tetapi pilihan saya di sini ialah memilih waktu senja yang lebih gelap atau gelap kelabu. Pencinta seni foto mesti arif tentang suasana begini sebab mereka tahu cara mengambil sudut-sudut gambar yang menarik sama ada menggunakan kamera lebih canggih atau handphone sahaja. Ada keindahan disebalik senja dari waktu perubahan hingga ke malam hari. Ia mengingatkan kita tentang “the loveliness in endings that bring new beginnings”. Begitulah dengan situasi dan peristiwa tahun 2020 yang telah kita alami bersama. Pada saat saya menyediakan “pattern written Sunset Flower Cardigan” ini, 2020 hampir berakhir. Ia juga peluang untuk memikirkan semula kepentingan masa dan bagaimana kita telah memanfaatkannya. Semoga tahun baru 2021 ini menjadi tahun yang lebih bermakna untuk memulakan kehidupan yang lebih baik buat kita semua.

Mari kita mulakan cara membuat cardigan Sunset Flower ini.

BENANG

Benang kapas susu. Teksture lebih lembut dan gebu. Selesa ketika mengait. Harga berpatutan. Benang jenis ini sesuai digunakan untuk mengait projek seperti baju, selimut, shawl atau berbagai projek keselesaan. Kategori: No.4 (DK, Lightweight/Light Worsted). Berat lebih kurang 46-50gm. Panjang lebih kurang 112m. Material: Campuran 80% kapas, 20% susu. Jarum cadangan: 3.5mm – 4.5mm (atau mengikut pilihan masing-masing). Selain di Shopee, anda juga boleh mendapatkan benang ini di Lazada dengan harga berpatutan. Sekiranya ingin mencuba benang yang berlainan, boleh juga mencari info di Iceyarns.

SAIZ MENGIKUT KETETAPAN

Saiz yang saya reka di sini adalah berdasarkan saiz Asia. Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan mengukur badan dengan tepat dan ia tidak semestinya menetapi syarat dibawah. Maksudnya anda boleh membuat sedikit ‘adjustment’ bergantung pada saiz yang diperlukan.

Susunan saiz mengikut panduan: XS (S, M, L, XL, 2XL, 3XL). Contohnya jumlah tali air: 70 (76, 84, 90, 98, 104, 112) yang bermaksud 70 adalah untuk saiz XS, 76 untuk saiz S, 84 saiz M, 90 saiz L, 98 saiz XL, 104 saiz 2XL dan 112 untuk saiz 3XL.

BAHAN-BAHAN ASAS

Benang: Milk Cotton No.4 (DK, Lightweight/Light Worsted) / 50gm
Warna: Shadow Gray (yang lebih hitam) dan Pewter (yang lebih cerah).
Namun demikian, pilihan warna benang juga terpulang pada citarasa masing-masing.

Saiz Jarum: 4.00mm

Jarum untuk menyulam benang (Darning Needle)

Gunting

RINGKASAN PERKATAAN (Pattern menggunakan US Term)

Ch = Chain (Kait Rantai)
Sl st = Slip Stitch (Kait Kemasan)
SC = Single Crochet (Sekali Kait)
DC = Double Crochet (Kait Sekali Lilit)
FPDC = Front Post Double Crochet (Kait DC bahagian depan)
BPDC = Back Post Double Crochet (Kait DC bahagian belakang)
St(s) = Stitch(es)

**Untuk mengetahui lebih lanjut cara mengait FPDC dan BPDC, sila lihat video tutorial di sini.

GAUGE: 10cm x 10cm (4″x 4″): 16 stitches x 8 baris Double Crochet (DC).

**Tujuan menggunakan gauge ialah hendak menentukan saiz sesuatu projek yang dikehendaki. Sekiranya gauge anda tidak menetapi saiz gauge asal, ini bermakna jarum yang digunakan mungkin terlalu kecil atau terlalu besar. Seelok-eloknya, kait material sebagai dummy terlebih dahulu sebelum memulakan projek sebenar, iaitu mengait bentuk segiempat sedikit besar dari 4″X4″ sehingga anda mencapai gauge yang tepat.

Setelah mendapat gauge yang tepat, kemudian ukur badan anda. Misalnya, saya mengambil ukuran bahagian punggung saya untuk mendapatkan saiz sebenar cardigan yang saya perlukan. Kenapa bahagian punggung dan tidak dipinggang atau bahagian dada? Ini kerana cardigan seharusnya perlu lebar dan besar sedikit dari badan kita sendiri. Tambahan pula kita mahu memakainya bersama sehelai lagi baju dari dalam.

Kaedah kiraan mendapatkan jumlah tali air berdasarkan ukuran dibadan (dalam cm atau inci).

Gauge: 10cm x 10cm (4″x 4″): 16 sts x 8 baris Double Crochet (DC).
Ukur Lilit Punggung: 96cm / 38 inci.
**Dengan itu:
96cm / 38 inci dibahagi 2 = 48cm / 19 inci
48 cm X 16 sts / 19 X 16 sts = 768 / 304
768 bahagi 10 cm / 304 bahagi 4 inci = 76.8 / 76
Adjustment stitch: 77 sts
**Maka, jumlah sts atau tali air bagi sukatan lebar punggung saya ialah sebanyak 77 sts atau tali air.

UKURAN KESELURUHAN (INCI)

Ukuran berikut merupakan anggaran sahaja. Ia boleh jadi berbeza sedikit mengikut saiz yang anda mahukan. Ia juga berbeza disebabkan faktor ketebalan benang pilihan.

Lebar: 17.5 (19, 21, 23, 25, 27, 29)
Fit Bust (Dada): 32 (36, 40, 44, 48, 52, 56)
Panjang: 16.5 (18.5, 18.5, 19.5, 19.5, 20.5, 20.5)
Panjang lengan: 16 (18, 18, 19, 19, 20, 20)
Ukuran ‘Armhole’: 6.5 (7, 7.5, 8, 8.5, 9, 9.5)

CARA MENGAIT

Mengait bahagian belakang cardigan (Back Panel).

Tali air (Foundation): Ch 71 (77, 85, 91, 99, 105, 113).

Baris 1: **Ch 2, DC pada st yang sama dengan ch 2. Seterusnya DC setiap st hingga ke hujung baris 1. Jumlah keseluruhan st: <71 (77, 85, 91, 99, 105, 113)>.

Baris 2: Ch 2, DC pada st yang sama dengan ch 2. Kemudian mula membuat ‘Front Post DC’ (FPDC) dan ‘Back Post DC’ (BPDC) selang-seli hingga hujung baris 2. Lihat video cara membuat.

**Untuk pengetahuan, dalam projek ini, setiap Ch 2 yang kita mulakan pada setiap baris tidak akan dikira sebagai DC, sebaliknya ia hanya untuk memulakan DC sahaja. Biasanya kita kait 3 ch setiap kali kita memulakan DC pada sesetengah projek. Tetapi tidak pada projek ini kerana ianya memerlukan kita mencantumkan setiap helai cardigan.**

Baris 3: Ulangan proses seperti pada baris 2 hingga hujung baris 3. Tukar warna benang.

**Dalam video yang anda lihat juga ada menunjukkan cara-cara menukar warna benang. Walau bagaimanapun, ianya terpulang pada pilihan dan cara masing-masing.**

Baris 4: Setelah menukar warna, Ch 2, DC pada st yang sama dengan ch 2. DC setiap st hingga hujung baris.

*Ulang proses baris 4 ini pada Baris 5 hingga Baris 36 (38, 38, 40, 40 , 42, 42). **Walau bagaimanapun, anda boleh menambah sendiri banyak mana baris sehinggalah mencapai panjang yang anda mahukan.**

Setelah selesai, potong benang dan simpan lebihan benang yang agak panjang untuk sesi pencantumannya nanti.

Berikut ialah contoh panel bahagian belakang cardigan yang telah saya kait.

Mengait bahagian hadapan cardigan (Front Panel): 2 HELAI

Tali air (Foundation): Ch 31 (33, 37, 40, 44, 47, 51).

Baris 1: Ch 2, DC pada st yang sama dengan ch 2. Seterusnya DC setiap st hingga ke hujung baris 1. Jumlah keseluruhan st: <31 (33, 37, 40, 44, 47, 51)>.

Baris 2: Ch 2, DC pada st yang sama dengan ch 2. Kemudian mula membuat ‘Front Post DC’ (FPDC) dan ‘Back Post DC’ (BPDC) selang-seli hingga hujung baris 2. Lihat video cara membuat.

Baris 3: Ulangan proses seperti pada baris 2 hingga hujung baris 3. Tukar warna benang.

Baris 4: Setelah menukar warna, Ch 2, DC pada st yang sama dengan ch 2. DC setiap st hingga hujung baris.

*Ulang proses baris 4 pada Baris 5 hingga Baris 36 (38, 38, 40, 40 , 42, 42) atau mengikut jumlah baris yang telah anda buat untuk bahagian panel belakang tadi.

Potong benang dan simpan lebihan benang yang agak panjang untuk sesi pencantuman. Buat satu lagi panel bahagian hadapan.

Mengait bahagian lengan cardigan (Sleeves): 2 HELAI

Untuk membuat lengan, ianya juga sama seperti membuat 2 helai panel hadapan cardigan cuma bilangan st perlu ditambah pada beberapa baris bagi menjadikannya seperti bentuk trapeze’.

Tali air (Foundation): Ch 35 (39, 43, 47, 51, 55, 59).

Baris 1: Ch 2, DC pada st yang sama dengan ch 2. Seterusnya DC setiap st hingga ke hujung baris 1. Jumlah keseluruhan st: <35 (39, 43, 47, 51, 55, 59)>.

Baris 2: Ch 2, DC pada st yang sama dengan ch 2. Kemudian mula membuat ‘Front Post DC’ (FPDC) dan ‘Back Post DC’ (BPDC) selang-seli hingga hujung baris 2. Lihat video cara membuat.

Baris 3: Ulangan proses seperti pada baris 2 hingga hujung baris 3. Tukar warna benang.

Baris 4: Setelah menukar warna, Ch 2, DC pada st yang sama dengan ch 2. DC setiap st hingga hujung baris.

Baris 5: Ch 2. Buat 2DC pada st yang sama dengan ch 2. Pada baris ke 5 membuat lengan, kita mulakan penambahan st (increasing st). DC setiap st hingga ke st 2 terakhir. Kemudian 2DC pada st terakhir di hujung baris. Jumlah keseluruhan st anda dapat di sini ialah: <37 (41, 45, 49, 53, 57, 61)>.

Baris 6: Ch 2, DC pada st yang sama dengan ch 2. DC setiap st hingga hujung baris.

*Ulang proses baris 6 pada Baris 7 & Baris 8.

Seterusnya ulang keseluruhan proses baris 6, 7 & 8 bermula Baris 9 hingga Baris 16. Jumlah keseluruhan st yang anda dapat di sini ialah: <41 (45, 49, 53, 57, 61, 65)>.

Baris 17: Ch 2. Buat lagi 2DC pada st yang sama dengan ch 2 untuk proses penambahan st. DC setiap st hingga st 2 terakhir, dan 2DC pada penghujung baris. Jumlah keseluruhan st anda dapat di sini ialah: <43 (47, 51, 54, 59, 63, 67)>.

Baris 18 & Baris 19: Ch 2, DC pada st yang sama dengan ch 2. DC setiap st hingga hujung baris.

*Ulang keseluruhan proses baris 17, 18 & 19 ini bermula Baris 20 sehingga Baris 39 (40, 40, 41, 41 , 42, 42).

Di akhir proses membuat lengan, anda seharusnya mendapat jumlah keseluruhan st sebanyak: <57 (59, 63, 66, 71, 75, 79)>.

Potong benang dan simpan lebihan benang yang agak panjang untuk sesi pencantuman. Buat satu lagi helai lengan cardigan.

Proses Mencantum Setiap Bahagian

Susun setiap panel cardigan anda seperti gambar tertera. Untuk mencantumkan 2 helai panel hadapan dengan panel belakang, cantum st mengikut jumlah st panel hadapan dengan kiraan bermula dari bahagian paling tepi. Tinggalkan beberapa st pada bahagian dada bagi memberi ruang bahagian leher.

Untuk bahagian kedua-dua lengan pula, lipat dua pada bahagian tengah dan letakkan panel sama rata pada bahagian atas bahu untuk membentuk ‘armhole’. Mulakan proses mencantumkan kedua-dua helaian lengan dengan bahagian badan cardigan.

Selesai mencantum mengikut susunan, lipat cardigan menjadi bentuk baju untuk mencantumkan bahagian bawah lengan, bawah ketiak hinggalah ke bahagian tepi cardigan.

Rangka Bahagian Leher (Neckline Border)

Baris 1: Ch 2, DC pada st yang sama dengan ch 2. DC di sepanjang ‘neckline border’.

Baris 2: Ch 2, DC pada st yang sama dengan ch 2. Kemudian mula membuat ‘Front Post DC’ (FPDC) dan ‘Back Post DC’ (BPDC) selang-seli hingga hujung baris 2. Lihat video cara membuat.

Setelah selesai proses mencantumkan kesemua bahagian, jahitkan bakian benang-benang anda agar hasil projek nampak lebih kemas.

Selamat mencuba dan semoga sempurna. Happy crocheting.

crochet.creativity.inspiration.

Please follow and like us:
Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)