Manfaat Seni Mengait Benang

Ketahui Seni Mengait dan Kebaikan Mempelajarinya

Mengait atau lebih dikenali sebagai crochet dan knitting merupakan salah satu seni kemahiran yang menyeronokkan. Ia bukan semata-mata untuk menjadi kreatif malah menyumbang banyak manfaat kepada kita dalam berbagai cara. Mungkin ramai lagi yang masih belum mengetahui manfaat mengait ini terutama jika ianya mula dipelajari sejak kanak-kanak lagi.

Di kebanyakan negara-negara luar seperti Amerika, Eropah, Jepun atau Korea, mereka menggalakkan seni tangan begini dengan menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas belajar mengait. Di negara kita Malaysia, terdapat juga kelas-kelas belajar asas mengait dari peringkat kanak-kanak lagi, tetapi ianya kurang mendapat sambutan atau sokongan dari ibubapa.

Tahukah anda, mengait banyak memberi kebaikan kepada otak? Kajian dari beberapa orang guru dan pensyarah dari negara-negara barat seperti Judith Symonds, Cat Bordhi serta doktor psikologi seperti Howard Gardner dari Harvard Graduate School of Education membuktikan bahawa mengait memberi kebaikan kepada otot-otot kecil kita yang melibatkan pergerakan tangan, jari dan mata secara serentak melalui pergerakan yang berulang. Selain itu, ia juga melatih meningkatkan kemahiran membaca, mengira serta penyelesaian masalah. Ini bermakna manfaat yang dicapai itu tidak ubah seperti kita bermain piano iaitu meningkatkan daya kognitif seseorang itu. Misalnya dengan mengait menggunakan dua tangan (knitting), berupaya menghubungkan kedua-dua otak kanan dan kiri yang diperlukan dalam proses koordinasi tugasan harian seperti menulis atau memukul bola lisut (Vercillo, 2015).

Kajian yang dilakukan Rockman iaitu seorang penyelidik dan perunding pendidikan bebas pihak Yayasan Kerajinan dan Hobi ke atas pelajar-pelajar sekolah rendah yang ditulis dalam jurnal beliau The Academic Value of Hands-on Craft Projects in Elementary Schools mendapati:

  • 96 peratus guru bersetuju bahawa pelajar menunjukkan rasa ingin tahu yang lebih tinggi mengenai unit pembelajaran mengait
  • 90 peratus guru mengatakan bahawa projek mengait membantu pelajar memahami idea asas serta konsep mengait dengan lebih luas
  • 85 peratus guru mengatakan pelajar bekerjasama menghasilkan projek mengait
  • 85 peratus guru mengatakan bahawa projek-projek kraf tangan membantu pelajar mencari maklumat-maklumat baru dalam situasi yang berbeza

Sebuah buku yang menarik perhatian saya ialah Crochet Save My Life yang ditulis Kathryn Vercillo mengisahkan bagaimana beliau bekerjasama dengan Sekolah Waldorf membantu murid sekolah rendah dalam projek-projek mengait. Kandungan buku tersebut menyatakan bahawa mengait atau merajut benang memberi manfaat kepada murid sekolah rendah dalam berbagai cara. Antaranya ialah mereka berupaya mengekspresikan diri mereka dalam identiti yang tersendiri dan unik berdasarkan persembahan projek-projek yang dikait mereka. Malah tambahnya lagi, dengan mengait ia dapat meningkatkan tumpuan dalam pembelajaran serta kurang memikirkan tekanan yang dihadapi terutama kanak-kanak yang menghadapi kesukaran hidup kesan dari penceraian kedua ibubapa mereka.

Apa pula kebaikannya kepada kesihatan mental? Berikut merupakan hasil kajian yang dijalankan Lion Brand pada tahun 2014

1. Mengurangkan Depresi (Kemurungan).

Mengurangkan kemurungan adalah manfaat yang paling banyak dilaporkan dan dikaji kesan dari mengait atau merajut benang. Kaedah mengait secara berulang terbukti dapat melepaskan serotonin iaitu anti-depresi secara semulajadi. Hasil kajian CNN ke atas lebih dari 3,500 perajut yang diterbitkan dalam The British Journal of Occupational Therapy menyatakan, 81 peratus responden dengan kemurungan melaporkan merasa tenang setelah mengait. Manakala selebihnya merasa gembira.

2. Kerajinan Membantu Mengurangkan Kebimbangan

Kerajinan dalam konteks ini ialah rajin dan mempunyai semangat untuk mengait. Ia dikatakan berupaya membantu mengurangkan rasa kegelisahan atau kebimbangan. Ini kerana anda sentiasa merasa fokus. Secara tidak langsung ia membawa minda dalaman anda ke ruang yang lebih tenang. Kajian juga membuktikan mengait berfungsi sebagai jalan keluar yang produktif terutama bagi mereka yang bermasalah dengan Gangguan Kompulsif Obsesif. Tentu anda pernah mendengar seseorang yang dilanda keresahan mempunyai selera makan yang sangat tinggi. Ini kerana mereka mahu melupakan masalah yang dihadapi.

3. Membantu Membina Harga Diri (Low Self Esteem)

Tahukah anda mereka yang merasa harga diri yang rendah mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan? Apabila merasa rajin mengait, secara tidak langsung membantu meningkatkan harga diri dengan cara membina kemahiran baru, menjadi produktf, lebih bersemangat, membuat hadiah untuk diberikan kepada orang lain dan banyak lagi.

4. Mengurangkan Demensia

Beberapa kajian menunjukkan bahawa mengait/merajut dapat melambatkan proses kehilangan daya ingatan yang berkaitan dengan usia. Malah ia juga menenangkan mereka yang mengalami tanda-tanda demensia. Penyelidik Yonas Geda, seorang pakar bedah saraf di Mayo Clinic telah menyelesaikan kajian yang menunjukkan bahawa mengait adalah neuroprotektif yang mampu mengurangkan demensia sehingga 50 peratus.

5. Membantu Masalah Insomnia

Insomnia adalah perasaan yang mengerikan. Anda berasa letih tetapi anda tidak dapat tidur sehingga anda merasa sangat kecewa. Mengait terbukti berkesan membantu masalah ini kerana secara tidak langsung minda akan lebih fokus pada projek mengait yang lembut, menenangkan, mudah serta berulang-ulang. The New York Times melaporkan kajian yang dilakukan professor Herbert Benson dari Institut Perubatan Minda dan Badan mendapati bahawa 90 peratus pesakit insomnia melaporkan tidur yang lebih baik serta pengurangan mengambil ubat tidur setelah mengambil program mengait.

6. Meredakan Kemarahan

CNN Health juga melaporkan mengait juga dapat menolong anda pada bila-bila masa anda merasa marah, gelisah, kecewa atau bosan. Aktiviti seni yang positif ini boleh membantu menstabilkan mood anda agar lebih seimbang.

7. Meditasi dan Doa

Meditasi dan doa telah terbukti mempunyai pelbagai manfaat kesihatan. Mengait atau merajut ini boleh digunakan sebagai sebahagian daripada proses meditasi atau doa anda seterusnya mengurangkan kesan tekanan dalam hidup anda.

8. Membangunkan Komuniti

Tidak kira masalah kesihatan apa yang anda hadapi, ada baiknya anda mempunyai komuniti sokongan di sekitar anda. Misalnya perjumpaan kecil mengait bersama, kelas komuniti kraf dalam talian dan sebagainya. Selain meningkatkan hubungan sosial yang sihat, ia juga membantu anda berasa riang dalam komuniti yang sentiasa mahu belajar dan memberi sokongan di antara satu sama lain.

Itulah diantara kebaikan memahirkan diri dalam aktiviti seni mengait atau merajut benang. Di samping memberi manfaat kepada kesihatan minda, ia juga boleh membantu menjana sumber ekonomi melalui hasil-hasil kerja tangan yang kreatif. Sekiranya anda berminat atau mahu menghantar anak anda belajar mengait, bolehlah layari halaman-halaman tempatan seperti Crochet My Hobby, Pinky Frog Shop, dan Daknityarnshop. Kelas-kelas tersebut biasanya ada menyediakan set mengait asas. Mereka juga menjual benang-benang serta lain-lain kelengkapan atau aksesori mengait.

Antara jenis benang bermutu buatan Acrylic dan campuran Mikrofiber.

Dengan perkembangan teknologi terkini, ramai yang mengambil kesempatan menganjurkan kelas-kelas atas talian sama ada secara percuma atau berbayar. Namun begitu kebanyakan tutorial atas talian menggunakan Bahasa Inggeris. Begitu juga dengan pengetahuan mengait serta memilih kategori benang tertentu turut di sediakan dalam tutorial atas talian. Rajin-rajinlah mencari sumber ilmu dan banyakkan membaca. Sekiranya anda berminat membeli benang seperti tertera di atas rujukklah halaman-halaman seperti Deramores, Spotlight, Lovecraft atau Iceyarn. Shopee juga ada senarai benang-benang tertentu tetapi tidak semua jenis seperti dalam gambar ada dijual.

Semoga suatu hari nanti, negara kita tidak akan ketinggalan mengiktiraf seni mengait atau merajut benang ini sebagai satu matapelajaran kemahiran atau ko-kurikulum penting di sekolah rendah dan menengah. Saya teruja melihat perajut dan pereka-pereka fesyen seperti Helen Rodel, Katie Jones Knit, Anna Kosturova, Dolce dan Gabbana, Jonah Hands, serta ramai lagi yang menghasilkan rekaan tersendiri menggunakan kaedah mengait. Malah yang menakjubkan saya ialah Jonah Hands ialah antara perajut termuda yang berusia 13 tahun. Generasi kita pula bagaimana?

Trade mark yang sering mengatakan mengait itu adalah hobi nenek-nenek zaman dahulu perlu diubah. Mentaliti masyarakat kita perlu melihat jauh ke hadapan kepada sesuatu perubahan serta berani meneroka perkara-perkara baru yang memerlukan kreativiti.

Trade mark yang sering mengatakan mengait itu adalah hobi para nenek harus diubah.
Photo Kredit: Expression Fiber Arts

Semoga anda yang berminat dengan seni-seni mengait berasa teruja, bersemangat serta mendapat inspirasi.

Happy Reading & Happy Crocheting! 🙂

XOXO .

Please follow and like us:
Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)