10 Cara Agar Hidup Menjadi Indah

Kehidupan yang indah ialah kehidupan yang membuatkan kita merasai kehidupan ini dengan sepenuhnya, dipenuhi dengan inspirasi yang mewujudkan persekitaran yang lebih positif dan bermakna. Mungkin ada diantara kita berfikir, memang mudah untuk mengatakannya daripada melakukannya. Ini kerana ramai yang telah menjalani kehidupan yang penuh dengan berbagai kejayaan, pencapaian dalam kerjaya berserta dengan kemewahan, tetapi lagi masih merasa kekosongan jiwa atau tidak mempunyai ketenangan. Antara sebabnya ialah kita melakukan sesuatu perkara yang tidak membuatkan kita bahagia, mudah merasa bosan atau dalam keterpaksaan.

Namun begitu terdapat juga yang mengharungi kepayahan hidup ini masih boleh membuatkan kehidupan ini menjadi indah, bergantung pada apa yang kita fokuskan. Pastinya mereka mempunyai panduan tertentu untuk membuatkan mereka bahagia. Untuk mencapai indahnya kehidupan ini, berikut merupakan 10 perkara yang mudah untuk dijadikan panduan.

1. Sentiasa merasa bersyukur

Sudah tentu anda sentiasa melihat ayat ini didalam media sosial seperti Facebook, Instagram, Whatsapp, Tik Tok, Twitter dan sebagainya. Saya seringkali terbaca ayat ini melalui perkongsian rakan-rakan dimedia sosial, tetapi adakah kita mempraktikkannya seratus peratus tidak kira samaada waktu sukar atau bahagia? Cuba kaji dan lihat apa yang kita miliki dan lalui sepanjang hari? Apakah keistimewaan yang kita ada? Makanan, pakaian, tempat tinggal, kenderaan, keluarga, haiwan peliharaan, keadaan cuaca, dan sebagainya. Bersyukur itu sebenarnya kunci kepada pintu rahmat hidup yang tersembunyi.

2. Memahami diri anda sendiri

Kebanyakan kita mempunyai idea tentang diri kita sendiri. Setiap kali kita membelek media sosial, kita teruja melihat kejayaan-kejayaan orang lain dalam berbagai bidang yang seakan-akan mudah untuk dilakukan. Kita lihat orang lain menjual pakaian, kita pun mahu buat. Kita lihat orang membuka bakeri, kita pun mahu buat. Kita lihat orang jual macam-macam barang, semua mahu dicuba. Jika difikirkan semula, adakah kita benar-benar tahu atau memahami siapa diri kita sebenarnya. Adakah mahu melakukannya kerana minat, bakat atau mahu untung sahaja? Cuba teliti semula perkara yang mungkin telah kita elak beberapa tahun yang lepas. Gali semula keghairahan dan keinginan untuk melakukan perkara tersebut. Proses ini agak mengambil sedikit masa tetapi ia akan membantu melihat bagaimana hidup kita berpotensi untuk menjadi indah.

3. Kenal pasti makna kehidupan yang indah

Sekiranya pada masa sekarang kita masih merasakan hidup tidak seindah yang diimpikan, sudah tiba masanya untuk bertanya kepada diri sendiri apakah perkara yang kita rasa masih kurang dalam kehidupan? Adakah ianya berkaitan dengan tujuan, inspirasi, kebahagiaan, atau sesuatu yang lain? Ketika bersendirian, tanya diri kita dengan soalan seperti: “Apakah yang membuatkan saya terperangkap dalam ketidakbahagiaan ini? Adakah takut pada kegagalan, penolakan, atau membuat pilihan yang tidak tepat?” Catatkan dalam buku nota untuk membuat penilaian diri.

4. Mulakan beberapa perubahan ke arah kehidupan yang indah

Setelah menyenaraikan beberapa jawapan dari langkah 3 diatas, mulakan beberapa langkah perubahan yang perlu dibuat dalam setiap sudut kehidupan. Fikirkan apa yang mungkin hilang dari hidup kita dan apa yang perlu dilepaskan. Sekiranya kita ingin mencari tujuan sebenar hidup yang bermakna, kelilingi diri kita dengan orang yang sentiasa berfikiran positif, memberi inspirasi dan dorongan. Elakkan menghabiskan masa dengan mereka yang selalu menjatuhkan kita. Beranilah untuk berkata tidak jika kepada mereka yang selalu mengajak kita melakukan perkara yang tidak berfaedah sebelum ini. Ingatlah, perkara kecil boleh membuat semua perbezaan.

5. Beri kebahagiaan untuk merasa bahagia

Dalam konteks ini, memberi kebahagiaan itu bermaksud berusaha untuk membuatkan hidup orang lain menjadi indah dalam kebanyakan perkara harian yang boleh kita lakukan. Contohnya, jangan sengaja membuang sampah diatas tempat letak parking kereta apabila melihat seorang pekerja majlis bandaraya sedang menyapu sampah. Permudahkan urusan hidup orang lain agar kita dapat merasakan hidup yang lebih bernilai. Sentiasa ingat bahawa setiap manusia memerlukan kasih sayang dan penghargaan dalam hidup mereka. Jadikan kehidupan indah dan lebih bermakna dengan memberi kasih sayang kepada setiap orang yang kita temui dalam bentuk kebaikan, persefahaman, toleransi, penerimaan dan kemurahan hati.

6. Sentiasa memaafkan

Tidak mudah bagi segelintir orang terutama mereka yang hidup penuh dengan dendam dan kepahitan. Apabila seseorang telah menganiaya atau mengecewakan kita, memang sukar untuk memaafkan dan melupakan. Sebenarnya memaafkan bukanlah perkara merendahkan harga diri sebaliknya lebih kepada melepaskan diri! Memaafkan akan menghilangkan tekanan yang luar biasa daripada sebarang situasi, tetapi jika kita berpegang pada kemarahan dan dendam, ianya hanya akan memakan diri sendiri. Sebarang langkah yang hendak diambil ke arah kehidupan indah akan menjadi sia-sia. Jadi bantu diri sendiri, memaafkan dan teruskan hidup.

7. Melihat perkara baru dari berbagai perspektif

Adalah sukar untuk menjangka sesuatu perkara baru disebalik sesuatu kejadian. Walau bagaimanapun, jika kita melihat sesuatu perkara sebagai peluang pembelajaran baru sambil bertanyakan soalan ini: “Apakah situasi ini cuba mengajar saya?”. Cari jawapan yang memberi semangat positif untuk menjalani kehidupan yang lebih indah. Perubahan dalam perspektif sukar kelihatan kerana kita perlu bijak mengimbangi situasi dalaman dan luaran. Sebagai contoh, kita mahu keluar rumah ke pusat membeli-belah, tiba-tiba cuaca buruk diluar dengan hujan lebat berterusan selama beberapa jam. Kita mengeluh sambil terkeluar ayat-ayat yang tidak sepatutnya. Cuba ambil perspektif baru dari keadaan ini. Hujan mungkin menyelamatkan kita untuk tidak keluar rumah kerana banjir kilat telah berlaku disetengah kawasan jalanraya menghala ke tempat mahu membeli-belah. Jika tidak, bermalamlah di pusat membeli-belah tersebut.

8. Lebih fleksibel dalam pemikiran

Pemikiran yang sempit dan tidak fleksibel tidak akan memberi ruang kepada perubahan atau penambahbaikan. Untuk menjalani kehidupan yang indah, kita harus mempunyai jenis minda yang lebih terbuka dan mudah lentur supaya maklumat baru atau situasi yang tidak dijangka dapat difahami tanpa memberi sebarang tekanan. Mempunyai pemikiran yang lebih fleksibel dalam pendekatan kehidupan seharian membolehkan kita menikmati sedikit kebebasan. Contohnya, kita berjaya membuat baju rekaan sendiri buat kali pertama. Ini disebabkan hasil dari pemikiran yang fleksibel dan sentiasa terbuka mencuba perkara-perkara baru.

9. Mengharapkan yang terbaik, bukan yang terburuk

Kehidupan ini seringkali digambarkan ibarat air pasang surut atau ibarat pusingan roda. Walaubagaimana pun, jika kita mengimbangi pemikiran dengan perkara dan pandangan yang lebih positif, sudah pastinya kita mengharapkan yang terbaik daripada orang dan juga situasi. Tanpa disedari kita telah mewujudkan persekitaran yang lebih belas kasihan dan memahami. Ambil satu contoh dari perkara ini, katakan pada suatu hari kawan baik meminta kita menghantarnya pulang ke rumah, tetapi kita tidak dapat berbuat demikian akibat kereta tiba-tiba masuk bengkel pada hari tersebut. Kawan baik kita pula mencadangkan diri pulang menggunakan perkhidmatan grab, tetapi kita mula membayangkan perkara buruk yang akan menimpa sekiranya beliau menaiki grab. Bermakna, kita telah gagal menjadikan kehidupan ini indah kerana telah menyemai kebimbangan melalui pemikiran negatif. Harapkan yang terbaik, bukan perkara-perkara buruk.

10. Memberi inspirasi untuk membuat perubahan dunia

Ini bukan tentang kita perlu berceramah atau berdakwah kepada orang lain tentang cara-cara mengubah dunia. Apa yang dimaksudkan disini ialah bagaimana menjadi seorang individu yang memberi inspirasi kepada orang lain agar turut menjalani kehidupan yang indah juga. Setiap orang masing-masing mempunyai pengalaman hidup, kejayaan dan sebagainya. Ada yang suka berkongsi cerita dengan tujuan memberi inspirasi. Pilihlah kaedah yang kita rasa sesuai dan bermanfaat kepada orang lain. Jika kita ingin melihat perbezaan di dunia dan menjadikannya tempat yang lebih indah, mulakan dengan diri kita sendiri!

Sudah bersediakah untuk menjalani kehidupan yang indah? Jika anda suka membaca, buku Ikigai: The Japanese Secret to a Long and Happy Life (Garcia, Hector) antara buku yang menarik untuk dibaca. Boleh beli di MPH Online. Anda juga boleh mengikuti kursus online seperti How to Be Happy & Have the Life You Want: Tools For Success di Udemy.

Wisz Limbi

Wisz Limbi

Welcome to my blog. I am a lifestyle blogger, who loves craftwork, cats, books and travel. I hope this blog would inspire you and find happiness in living well. Be creative. Be inspired.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.